Monday, September 27, 2010

MINGGU KE SEMBILAN : JURNAL REFLEKSI

Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia

Sekali lagi kita bertemu di ruangan jurnal refleksi untuk kuliah minggu ke sembilan. Pada minggu ini, tajuk pembentangan yang telah disampaikan adalah berkenaan Makyong. Sebelum penulis melangkah jauh dalam memperkatakan Makyong, penulis ingin berkongsi pengalaman mengenai latihan tarian Makyong yang telah diajar oleh ahli kumpulan tersebut. Walaupun latihan yang diberikan dalam tempoh yang pendek namun telah memberikan pengalaman yang menarik kerna penulis telah mempelajari tarian Makyong untuk buka panggung.

Makyong dikategori dalam Drama Tari atau Seni Lakon dan merupakan Tarian Tradisional Melayu. Makyong juga menggabungan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Tarian ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau, Indonesia. Terdapat beberapa tujuan Makyong dipersembahkan iaitu untuk persembahan, perubatan dan sembah guru. Namun pada masa kini Makyong dipersembahkan dalam bentuk taridra untuk pertunjukan di peringkat antarabagsa.

Persembahan Makyong dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung manakala sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Kebanyakan peranan dalam persembahan Makyung dilakukan oleh kaum wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi.

Makyong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Menurut Hikayat Patani, Makyong dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu. Dari situ ia berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain. Mak Yong dipentaskan sebagai pementasan Diraja semasa di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Di Patani, Makyong biasanya dipersembahkan di istana sehingga 1920 dan dipertontonkan juga dikalangan rakyat biasa. Pada awal abad ke-20, tarian Makyong telah mula berkembang ke merata-rata kampung tanpa naungan istana.

Terdapat pelbagai sejarah yang mengaitkan kewujudan Makyong sebagai dramatari yang begitu popular di kalangan rakyat antaranya adalah Lagenda biasanya mengaitkan tarian dengan semangat padi yang digelar Mak Hiang. Ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk menghormati semangat padi, berterima kasih bagi tuaian atau merawat penyakit. Pada masa dahulu permainan ini dipersembahkan sebaik sahaja selepas orang-orang kampung selesai menuai padi di bendang.

Selain itu, Makyong juga dikatakan berasal dari kisah dua orang adik beradik yang bekerja sebagai penjaga lembu di padang. Pada masa menjaga lembunya mereka terpesona dengan tiupan angin lembut ke atas pokok-pokok kayu di sekitar padang itu. Gerak-geri dahan, liuk-lintuk ranting, lambayang ranting dan lambayang daun serta gaya daun luruh berguguran ke bumi amat mengagumkan mereka dan inilah yang mewujudkan Makyong.

Mak Yong pernah mengalami zaman kejatuhan apabila nilai moral penari-penari Makyong mula merosot. Hal ini disebabkan kisah-kisah sumbang di antara penari-penari Makyong dengan penonton-penonton. Perceraian di kalangan suami isteri dan anak-anak Makyong merupakan satu perkara yang biasa berlaku. Pandangan masyarakat terhadap penari-penari Makyong mula merosot dan mula hilang kepercayaan terhadap moral mereka. Hal ini ditambah dengan kemasukan pengaruh-pengaruh kebudayaan Barat yang meluas sehingga menggelapkan lagi permainan Makyong.

Namun masa depan Mak Yong telah dibela apabila kumpulan Seri Temenggung (Kota Bharu) di bawah pimpinan Cik Khatijah Awang telah memulakan suatu fasa baru dalam sejarah Makyong. Penubuhan kumpulan-kumpulan teater Kampung Temenggung menyebabkan Makyong mula menarik perhatian orang ramai di kampung-kampung di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Terdapat tujuh jenis persembahan makyong namun hanya tiga sahaja yang begitu terkenal di Malaysia iaitu Makyung Kelantan, Makyong Kedah dan Makyung laut. Cerita-cerita Makyong diambil dari Menora atau dipinjamkan dari cerita-cerita Wayang Kulit serta daripada cerita Bangsawan. Hal ini kerana Menora, Makyung dan Wayang Kulit merupakan rumpun genre teater tradisional.

0 comments:

Post a Comment

 

SMP2252 EDDIE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template