Tuesday, August 31, 2010

MINGGU KE TUJUH : JURNAL REFLEKSI

Salam sejahtera dan salam satu Malaysia..

Pada minggu ke tujuh, jurnal refleksi adalah berdasarkan pembentangan yang dibuat oleh rakan-rakan. Pembentangan pada minggu ini adalah berkenaan Keroncong dan juga Kuda kepang. Pelbagai maklumat telah diperolehi oleh penulis berkenaan dengan tajuk yang dibentangkan. Pembentangan pada minggu ini, merupakan satu pembentangan yang menarik kerana selain daripada membentangkan tajuk, mereka juga sempat untuk membuat demonstrasi berkenaan dengan tajuk mereka.

Keroncong ialah sejenis seni muzik yang berasal dari pengaruh Indonesia. Ia mulai diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 apabila ramai pekerja buruh dari Indonesia terutama dari Pulau Jawa berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Penduduk dari Jawa, tidak ketinggalan juga membawa bersama kesenian mereka termasuk seni muzik gamelan, keroncong, muzik untuk wayang kulit, kuda kepang, barongan, hamdulok, katoperak dan sebagainya.

Kawasan-kawasan yang banyak terdapat kegiatan muzik keroncong adalah di tempat-tempat di mana terdapat ramai orang Jawa dan keturunannya seperti di negeri Johor, di pantai barat negeri Selangor dan Perak. Pada mulanya lagu-lagu keroncong yang dimainkan oleh orang tempatan adalah lagu-lagu yang berasal dari Indonesia. Tetapi lama-kelamaan, selepas Perang Dunia II, ada pencipta lagu tempatan yang mencipta lagu-lagu keroncong bercorak Melayu seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P. Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad, Zainal Ibrahim dan pada akhir-akhir ini Mahzan Manan dan Ariff Ahmad.

Biola atau violin adalah sejenis alat muzik bertali yang dimainkan dengan mengunakan penggesek biola (bow). Biola mempunyai empat tali dan leher yang tidak mempunyai fret. Ia dimainkan dengan cara menggesek tali-tali tersebut dan hujung biola diletakkan di bahu pemain. Terdapat beberapa alat lain dalam keluarga biola, contohnya viola dan selo. Bezanya adalah dari segi saiz (kerana bunyi yang dikeluarkan berbeza), namun cara bermain adalah sama. Biola adalah yang terkecil dan mengeluarkan pic yang paling tinggi. Biola dibuat oleh tukang lut (luthier).

gambar 1: Biola

Gitar adalah sejenis alat muzik bertali yang telah lama digunakan dalam pelbagai jenis gaya muzik, dan juga salah satu alat solo klasik. Ia banyak digunakan sebagai alat utama dalam muzik blues, desa, flamenco, rock dan banyak jenis pop. Gitar biasanya terdiri daripada satu batang leher yang panjang dan terdapat ruas-ruas yang dipanggil "fret". Badannya seakan-akan berbentuk biola. Pada kebiasaannya juga terdapat enam tali yang boleh dimainkan dengan memetik tali tersebut sama ada dengan jari ataupun plektrum (pemetik gitar). Namun terdapat juga gitar dengan empat, tujuh, lapan, sepuluh dan dua belas tali. Gitar dibuat dan dibaiki oleh tukang lut (luthier). Gitar boleh dimainkan secara akustik atau boleh bergantung pada penguat yang selalunya membolehkan manipulasi nada secara elektrik.

Gambar 2: Gitar

Flute digunakan sejak kurun ke12 dan flute berbentuk tegak. Pada Kurun ke 17, flute memegang peranan penting dalam permainan muzik klasik dan gubahan yang memberikan flute peranan sebagai alat solo. Flute telah direka oleh Theobald Beohm (1793-1881), dan direka dalam pelbagai jenis. Flute yang kecil sekali dikenali sebagai “picolo”. Manakala flute berbentuk besar sedikit (saiz standard) dikenali sebagai “alto flute” yang biasanya digunakan dalam beberapa gubahan muzik klasik Barat. Alto flute mengeluarkan bunyi yang lebih rendah. Kompas flute bermula daripada not C yang di bawah sekali kepada not yang tertinggi iaitu not A, lebih sedikit 21/2 oktaf jaraknya.



Gambar 3: Flute

Flute berbeza dengan seruling kerana seruling dibuat dari buluh, manakala flute di perbuat daripada perak. Pada asalnya permainan keroncong menggunakan seruling dan akhirnya ditukar kepada flute. Peranan flute sama seperti biola iaitu memainkan melodi dan juga mengiringi secara ‘counter melodi’ serta memainkan not-not hiasan. Bunyi flute memberi keasyikan kepada peminatnya jika pemain mempunyai banyak pengalaman dan berkebolehan dalam menggunakan aliran not bercorak keroncong. Adakalanya flute dan biola bermain secara duet sama ada secara harmoni atau secara unison.

Cuk merupakan satu alat yang di adaptasi daripada alat ‘ukelele’. Alat ini berperanan sebagai alat pengiring kerana ia cuma digunakan untuk memainkan kod-kod sahaja. Ukelele berasal daripada satu alat yang dikenali dengan nama “charanga” yang dibawa dari Eropah. Cuk dipasang dengan 3 atau 4 tali nylon dan larasnya boleh ditukar ikut nada lagu. Pemain harus mahir untuk menukar laras dengan cepat dan pemain juga perlu tukar posisi jari bagi memainkan kod-kod lagu yang dipersembahkan. Cuk dimainkan untuk mengiringi lagu secar kord, dipetik secara “strumming” .Namun cara tersebut telah berubah kepada memainkan secara petikan dan “arpeggio” dengan berasaskan kord yang sedang dimainkan.

Cak ialah alat pengiring dalam permainan keroncong. Ia bergabung dengan alat cuk dan bertingkah. Cak memainkan kord menggunakan rentak up-beat. Pemuzik Indonesia telah mereka cak baru yang berbentuk seakan-akan cuk tetapi menggunakan tiga tali dawai yang berpasangan seperti mandolin. Rekaan ini tidak menggunakan lubang bulat pada badan alat tetapi digantikan dengan lubang-lubang kecil bagi menghasilkan bunyi yang lebih nyaring dan tinggi.

Celo tergolong dari keluarga biola tetapi dalam keroncong asli ia dipetik (pizzicato), dan mempunyai peranan yang lebih dinamik dan lincah untuk menambahkan ketegasan rentak. Kini celo telah diubah dengan menggunakan tiga tali sahaja. Di Indonesia terdapat perusahaan yang membuat alat celo khas untuk keroncong. Alat celo pertama kali diperkenalkan pada tahun 1572 direka oleh Andrea Amati dari Cremona, Itali. Celo dilaras mengikut pilihan pemain. Celo adalah alat yang mengantikan gendang yang digunakan dalam muzik gamelan.


Gambar 4: Celo

Dabal bes atau double bass, juga dipanggil kontrabes, ialah sejenis alat muzik bertali bebusur besar, dengan ketinggian 2 1/2 kaki. Ia dalam keluarga biola dan merupakan alat biasa dalam orkestra simfoni moden. Double Bass mula terkenal pada awal kurun ke-16. Terdapat pelbagai saiz yang digunakan mengikut kehendak pemain. Talinya diperbuat daripada dawai dan juga nylon. Double bass adalah alat yang paling mudah dimainkan kerana ia menekankan rentak seperti yang dilakukan oleh gong dalam gamelan.



Gambar 5: Double Bass

Alat-alat ini memainkan peranan penting dalam persembahan keroncong. Keindahan muzik keroncong terserlah apabila seseorang menghayati keindahan alunan muzik ini.


0 comments:

Post a Comment

 

SMP2252 EDDIE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template