Saturday, August 14, 2010

MINGGU KE LIMA : JURNAL REFLEKSI

Salam sejahtera..

Sekali lagi kita ditemukan dalam ruang jurnal refleksi Muzik Tradisional Malaysia. Pada minggu ini, topik pembelajaran adalah berkenaan dengan Ensembel gamelan dan caklempong. objektif pembelajaran yang ingin dicapai adalah sejarah dan jenis-jenis gamelan, alat muzik gamelan dan sistem tonal, melodi, bentuk serta tekstur.

Gamelan

Gamelan merupakan alat muzik yang berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud ditabuh atau di pukul. Alat muzik gamelan diperbuat daripada perunggu, kayu, buluh dan besi. alat uzik ini mempunyai pelaras yang tetap "fixed tuning". Muzik gamelan dimainkan dengan cara ensembel yakni lengkap sekiranya dimainkan secara berkumpulan. Gamelan telah wujud semenjak T.M 1 dan alat muzik gamelan yang pertama dicipta adalah gong. Pada awal Tamadun Melayu, gong merupakan alat yang penting digunakan sebagai tanda sesuatu upacara bermula atau sesuatu peristiwa berlaku. Gamelan dipercayai berasal daripada indonesia, namun terdapat juga alat yang serupa di negara jiran seperti Filipina, Cambodia, Thailand dan Vietnam.

Gamelan Melayu

Di Malaysia, gamelan Melayu merupakan muzik bentuk tarian utama. Ia juga disebut sebagai gamelan Terengganu dan lebih dikenali sebagai Joget gamelan. Gamelan Melayu telah wujud di Istana Riau Lingga seawal abad ke-18 lagi hasil ikatan perkahwinan keluarga Di Raja Riau dengan Keluarga Bendahara dari negeri Pahang. Disebabkan perkahwinan tersebut maka gamelan, penari dan pemuzik juga telah dibawa.


Rajah 1: Gamelan Melayu


Set alat gamelan Terengganu menggandungi tujuh alat seperti gendang, bonang atau keromong, saron barung, saron penerus atau pekin, gambang, kenong dan gong. Terdapat fungsi tersendiri setiap alat muzik gamelan dalam sesuatu ensembal antaranya adalah;

Fungsi alat muzik;
1. 1 Gong Ageng: Register paling rendah, menentukan pusingan bentuk.
2. 1 Gong Suwuk: Penanda masa register rendah
3. Kenong (Chime): Penanda masa, diapungkan
4. Saron: Melodi pokok: Saron barung dan saron peking. Berbentuk bilahan.
5. Gambang: 3 oktaf lebih
6. 1 Gendang: 2 Muka

Gamelan Jawa


Gamelan Jawa dipercayai berasal dari Pulau Jawa Tengah. Gamelan Jawa digunakan sebagai mengiringi tarian Kifrah, Serimih Lilin, Kupu-kupu dan Cakil. Gamelan ini boleh didapati di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Muzik gamelan Jawa berfungsi dalam kehidupan masyarakat sebagai permainan rakyat dan bukannya terhad untuk persembahan istana sahaja. Set alalt gamelan Johor atau Jawa adalah lebih banyak dan cara bermain adalah kompleks. Peralatan muzik gamelan Jawa adalah seperi berikut:

Alat Muzik Gamelan Jawa atau Johor:
1. Gendang (Ketipung, Jiblon, Bem)
2. Bonangatau Keromong
3. Demung
4. Sarong Barung5. Saron Penerus atau Pekin
6. Gambang
7. Kenong
8. Kempol
9. Gong

Rajah 2: Alat Muzik Gamelan Jawa



Video 1: Ensembel Gamelan Johor

Caklempong


Caklempong dikenali juga sebagai telempong dan tak telempong. Alat muzik ini terdapat di daerah Lenggeng, Kualah Pilah dan Jelebu di Negeri Sembilan. Ia dipercayai berasal dari Minagkabau dan alat muzik ini digunakan untuk mengiringi nyanyian, tarian lilin, pencak silat, majlis perkahwinan dan keramaian. Alat-alat muzik caklempong adalah seperti;
Alat muzik caklempong:
1. Bonang
2. Gereteh
3. Tingkah
4. Sauwa atau Saua5. Gendang Ibu dan Anak
6. Bangsi
7. Serunai


Rajah 3: Alat Muzik Caklempong

Secara keseluruhan pembelajaran pada minggu ini sungguh menarik. Selain pembelajaran dalam kelas mengenai ensembel ini, kami berpeluang untuk memainkan alat muzik gamelan. Penulis telah berpeluang untuk bermain gendang Ibu dan anak sebagai mengiri lagu timang burung. Walaupun tidak mempunyai pengetahuan untuk bermain gendang ini namun dengan bantuan rakan dari fakulti muzik, penulis dapat memainkannya dengan baik.



Teruskan Membaca...

Saturday, August 7, 2010

MINGGU KE EMPAT : JURNAL REFLEKSI

MUZIK WAYANG KULIT

Muzik wayang kulit bukan sesuatu yang asing bagi masyarakat Malaysia. Wayang kulit telah menjadi salah satu daripada budaya yang menjadi identiti kepada masyarakat Melayu. Menurut sejarah wayang kulit merupakan seni tradisional Asia Tenggara yang merangkumi Thailand, Indonesia dan Malaysia. Wayang kulit ini telah berkembang di wilayah seperti Phattalung di Selatan Thailan, Jawa di Indonesia dan sebelah timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan dan Terengganu. Di Malaysia terdapat empat jenis wayang kulit iaitu wayang kulit purwa atau Jawa, wayang kulit Melayu, wayang gedek dan wayang kulit Kelantan.

Wayang kulit Jawa merupakan wayang kulit yang berasal daripada Indonesia. Di Malaysia, wayang kulit jawa atau purwa dipersembahkan oleh orang berketurunan jawa di Johor dan Selangor. persembahan wayang ini masih mengekalkan ciri wayang kulit purwa asli iaitu epik Ramayana dan Mahabrata. wayang ini di mainkan dengan iringan muzik dan juga penyanyi. Salah satu alat muzik yang menggambarkan identiti jawa wayang kulit ini adalah penggunaan alat muzik gamelan Jawa.


Rajah 1: Alat Muzik Gamelan Jawa

Rajah 2: Pemain muzik sedang memainkan Muzik untuk persembahan wayang kulit

Cerita yang disampaikan dalam wayang kulit Jawa ini adalah berdasarkan cerita Pendawa jawa yang mempunyai kaitan dengan cerita epik ramayana daripada India. Bahasa yang digunakan dalam persembahan wayang ini adalah bahasa Jawa dan terdapat juga dialek Melayu diselitkan dalam dialog yang disampaikan.

Patung yang digunakan dalam wayang kulit ini adalah sama seperti patung wayang kulit Kelantan. Namun patung wayang kulit Jawa dan Kelantan dapat dibezakan melalui bentuk mata patung. Jahitan mata patung yang memegang watak pahlawan adalah mata pepelang untuk watak jahat dan mata prebes untuk watak pertapa.

Rajah 3. Patung wayang kulit Jawa




Wayang Kulit Jawa: DEWA RICI

Sebagai kesimpulan, kuliah pada minggu ke empat banyak memberikan pengetahuan baru kepada penulis. Bagi meningkatkan lagi pengetahuan penulis berkaitan dengan muzik wayang kulit, pelatih akan mencari maklumat daripada sumber lain seperti buku, bahan internet dan juga majalah.
Teruskan Membaca...

Sunday, August 1, 2010

MINGGU KE TIGA : JURNAL REFLEKSI

Salam sejahtera dan salam satu Malaysia..

Sekali lagi kita ditemukan dalam lembaran refleksi kuliah yang ke tiga dalam subjek Muzik Tradisional Malaysia. Dalam lembaran refleksi ke tiga ini, penulis akan berkongsi maklumat berkenaan dengan kuliah yang telah disampaikan. Objektif pembelajaran yang telah digariskan dalam kuliah ini adalah mengenalpasti kaedah klasifikasi muzik tradisional Malaysia, mengenalpasti katogori muzik tradisional Malaysia dan mengenalpasti ciri-ciri muzik tradisional Malaysia. Muzik tradisional malaysia telah mengalami penyesuaian daripada budaya setempat yang telah menjadi sebati dengan kehidupan masyarakat Maalaysia. Muzik tradisional malaysia dapat diklasifikasikan mengikut beberapa budaya luar seperti budaya muzik Cina, India dan Barat. Disamping itu, muzik tradisional Malaysia dapat dibahagiakn kepada lima katogori utama iaitu muzik rakyat, muzik klasik, muzik sinkretik dan muzik kontemporari.

Pertembungan antara muzik rakyat dan muzik istana dengan unsur lain dapat melahirkan sebuah muzik yang dikenali sebagai muzik sinkretik atau accultured. muzik sinkretik kerap kali terdapat dalam budaya bandaran. muzik ini diterima sebagai muzik tradisional Melayu yang melibatkan berbagai-bagai jenis vokal, tarian dan teater. dalam muzik sinkretik, unsur-unsur asli dalam muzik tradisi dicampurkan dengan unsur luar seperti sumber muzik dan teater dari Arab, Parsi, India dan Barat.

Sebagai contoh, alat muzik Cak lempong merupakan salah satu alat muzik tradisional Malaysia yang tergolong dalam alat muzik sinkretik. Cak lepong juga tergolong dalam keluarga gong yang berukuran kecil. Cak lempong mula berkembang di kalangangan masyarakat Melayu berketurunan minangkabau di Negeri Sembilan. Cak lempong dimainkan bersama iringan alat-alat muzik lain seperti seruling buluh, salung, rebana dan gong untuk mengiringi pencak silat, tarian lilin, randai dan tarian serta nyanyian. Dalam situasi tertentu alat muzik cak lempong boleh dijadikan sebagai alat pengganti bagi canang seperti dalam dikir barat dan wayang kulit kelantan. Namun dalam keadaan sedemikian nama sifatnya dijelaskan sebagai alat canang. Hal ini berdasarkan kepada kontekstual persembahannya yang amat berkait dengan tuntutan disiplin berkenaan. Dalam amalan persembahan masa kini, kumpulan cak lempong dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut fungsinya iaitu bahagian "gereh" yang memainkan melodi, manakala "tingkah" dan suasa akan memainkan ritheme secara berhomofoni sebagai unsur pelengkap kepada irama kepada sebuah lagu tersebut.

Alat muzik Cak Lempong




Randai merupakan persembahan teater etnik minangkabau yang menggabungkan seni muzik, tarian, drama, nyanyian dan pencak silat. Randai biasanya dipersembahkan bagi upacara tradisi dan perayaan, dan kisah panjang memakan masa beberapa malam. Randai dipersembahkan sebagai teater dalam bulatan bagi mencapai persamaan dan penyatuan antara penonton dan peserta. Kisah disampaikan melalui lakonan serta nyanyian dan kebanyakan berdasarkan kepada lagenda Minangkabau dan cerita rakyat. Randai lahir pada awal abad ke-20 hasil gabungan seni bela diri tempatan, penceritaan dan tradisi persembahan lain. lelaki biasanya memaikan kedua-dua watak lelaki dan perempuan dalam cerita, tetapi sejak 1960-an wanita juga turut serta dalam persembahan ini.

Sebagai kesimpulan, kuliah pada minggu ini memberikan banyak maklumat berkenaan dengan ciri-ciri muzik tradisional kepada penulis. Maklumat ini berfaedah kepada penulis bagi mengetahui klasifikasi dan ciri-ciri muzik yang terdapat di Malaysia. Bagi meningkatkan lagi pengetahuan penulis berkenaan dengan kandungan kuliah ini, penulis akan membuat rujukan melalui pembacaan buku, kertas kerja, majalah dan internet. Pembelajaran dalam kelas dan rujukan luar akan memperkasakan lagi ilmu pengetahuan penlis dalam bidang ini.


Teruskan Membaca...

Monday, July 26, 2010

MINGGU 2 : JURNAL REFLEKSI

MUZIK TRADISIONAL MALAYSIA

Muzik Tradisional Merupakan salah satu subjek yang memberikan pendedahan kepada para pelajar berkenaan dengan isu muzik tradisional di alam Melayu serta telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita. Pembelajaran subjek Muzik Tradisional telah mempelbagaikan lagi ilmu pengetahuan penulis berkenaan dengan sejarah muzik tradisional serta aspek-aspek yang berkaitan dengan peralatan muzik. Sekiranya kita memperkatakan tentang muzik, maka timbullah idea atau pengetahuan kita berkenaan dengan lagu-lagu, peralatan muzik dan juga tari-tarian yang diiringi muzik. Begitulah tanggapan seseorang termasuk penulis sendiri yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap muzik. Namun bagi seseorang yang berpengetahun luas dalam bidang muzik maka muzik mempunyai elemen yang luas dan mempunyai peranan kepada pengamal muzik tersebut.

Selaras dengan komitmen penulis dalam mengikuti kursus ini, penulis ingin mendalami lagi bidang muzik agar penulis akan lebih berpengetahuan dalam bidang ini. Oleh itu, objektif yang ingin dicapai oleh penulis dalam mengikuti kuliah pada minggu kedua adalah mengetahui secara teori berkenaan dengan konsep-konsep asas muzik, mengenali alat-alat muzik tradisional, sejarah perkembangan muzik di negara ini dan perkembangan muzik tradisional sehingga pada hari ini. Objektif ini adalah penting bagi penulis mengetahui asas-asas muzik tradisional sebelum mendalami lagi pengetahuan muzik tradisional yang akan dipelajari sepanjang semester ini.

Bertepatan dengan rangka rancangan kursus yang telah dirancang oleh pihak Fakulti Muzik, beberapa tajuk asas telah dipelajari oleh penulis dalam kuliah pada minggu ke dua ini. Antara perkara yang telah dipelajari adalah soundscape, budaya muzik, sejarah, katogori alat muzik dan konsep atau struktur muzik. Soundscape merupakan pemandangan bunyi yang mempunyai peranan dalam konteks lingkungan suara. Bunyi memainkan peranan penting dalam membentuk muzik kerana gabungan bunyi yang dicipta mengikut domain budaya, persembahan dan aktiviti menghasilkan muzik. Apabila muzik yang dicipta oleh sesebuah masyarakat dan menjadi identiti kepada masyarakat tersebut makan muzik tersebut akan menjadi salah satu budaya masyarakat tersebut.

Setiap muzik yang menjadi identiti masyarakat akan mempunyai peranan dan gaya persembahan tersendiri dalam kehidupan masyarakat tersebut. Dalam konteks sejarah muzik tradisional telah mengalami integrasi yang menjangkau kawasan-kawasan disekitar alam Melayu dan telah lama bertapak di rantau ini sehinggakan muzik tradisional dikongsi bersama namun mengikut acuan kebudayaan masyarakat setempat. Oleh itu, kita dapat melihat kepelbagaian dalam sasuatu jenis muzik tradisional yang mempunyai keindahan mengikut masyarakat yang mendokongnya. Sejarah pergerakan manusia merupakan titik permulaan kepada tersebarnya perbagai pengaruh dalam sesuatu muzik tradisional tersebut. Sebagai impak kepada interaksi dan pergerakan manusia maka wujudlah muzik yang berunsurkan budaya asing seperti pengaruh Arab, Hindu, Indonesia, Thailand dan negara Barat dalam muzik tradisional di Malaysia.



Keroncong merupakan ensembel string atau muzik sinkretik yang mendapat pengaruh Barat khususnya Portugis.


Alat-alat muzik keroncong
1. Violin














2. Cello


















3. Double-Bass



















Selain itu, pengenalan berkenaan dengan alat muzik tradisional memberikan pengetahuan kepada penulis dalam muzik tradisional ini. Alat-alat muzik tradisional dapat dibahagikan kepada mengikut empat katogori iaitu kordofon, membranofon, aerofon dan ideofon. Disamping itu, struktur dan konsep muzik merupakan perkara yang amat penting bagi memberikan pengatahuan dalam bidang muzik. Antara struktur dan konsep muzik yang telah dipelajari oleh penulis adalah melodi, ritma atau meter, harmoni, bentuk, notasi dan ekspresi. Penguasan dalam konsep muzik yang telah diketengahkan akan memberikan pengetahuan kepada penulis untuk menilai keindahan semua jenis muzik.

Bagi meningkatkan lagi pengetahuan berkenaan dengan muzik tradisional Malaysia, pelbagai cara atau pendekatan yang boleh diambil oleh penulis seperti merujuk daripada buku, artikel dan melalui pembacaan di internet. Dengan mengamalkan cara tersebut maka pelatih akan dapat meningkatkan pengetahuan dan sekaligus menguasai teori beserta aplikasi muzik tradisional Malaysia.

Teruskan Membaca...

Wednesday, July 14, 2010

Biodata

Nama

EDDIE LARRY LAIMIN

No Matriks

D20072031678

Program

Pengajian Malaysia dengan Pendidikan

Kumpulan

B

Semester

Enam (6) / Semester 1 2010/2011

Subjek

SMP 2252 – Muzik Tradisional

Email

impeachthis87@gmail.com

Alamat Blog

http://smp2252eddie.blogspot.com

Negeri Asal

sabah

Foto

Teruskan Membaca...
 

SMP2252 EDDIE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template