Tuesday, September 7, 2010

MINGGU KE LAPAN : JURNAL REFLEKSI

Salam sejahtera dan salam satu Malaysia..

Sekali lagi kita ditemukan dalam ruang jurnal refleksi minggu ke lapan. Pada minggu ini tajuk refleksi adalah berkenaan dengan drama tari Manora yang telah disampaikan oleh rakan sekelas. Pembentangan yang disampaikan cukup memberi dan menambahkan maklumat berkaitan dengan drama tari ini.

Manora dikatogorikan dalam drama tari (dance-drama). Cerita drama tari ini dipetik dari kitab- kitab Mahabrata dan mempunyai 12 buah cerita asal. Tetapi 7 buah cerita asal telah diubahsuaikan. Terdapat beberapa tujuan persembahan manora seperti untuk perubatan. Dalam perubatanterdapat unsur animism iaitu meyediakan makanan untuk makhluk halus. Manora dipercayai berasal dari Songkla, Thailand. Drama tari ini begitu popular di wilayah-wilayah selatan Thailand. Menurut Su Choon, menora wujud sejak TM400 dan berasal dari Kerajaan Legor (Selatan Siam & Utara Tanah Melayu). Kerajaan Legor hilang setelah orang-orang Utara menguasainya pada tahun 1250 namun menora masih lagi ada sehingga kini.

Berdasarkan maklumat daripada pihak pembentang hasil daripada temubual bersama seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam drama tari di Malaysia iaitu Hj. Mohamed Tharuwat b. Hj. Ismail Bakti, menora berasal dari Narathiwat. Menora di Thailand berbeza dengan manora yang terdapat di Kelantan. Manora juga merupakan hak milik negara yang menjadi salah satu budaya kesenian masyarakat.

Menora wujud sebelum kedatangan agama Islam dan dimainkan mengikut cara Buddha di istana. Kedatangan agama Islam ke alam Melayu telah menguibah corak persembahan iaitu tidak membenarkan manora dimainkan di istana kerana mempunnyai unsur lucah dn mantera. Manora berkembang kepada rakyat jelataa dan banyak dimainkan di kuil sebagai upacara keagamaan.

Terdapat beberapa watak penting dalam persembahan manora iaitu yang di pegang oleh lelaki seperti perwira, srikandi dan tok perang atau pelawak. Manakala watak perempuan dimainkan oleh lelaki yang berambut panjang. Namun pada masa kini, watak perempuan dimainkan oleh perempuan juga. Persembahan tarian manora di Thailand ditarikan oleh wanita sahaja namun hal ini berbeza dengan tarian di Kelantan yang menggunakan penari lelaki dan wanita.

ALAT MUZIK MANORA

Persembahan menora dilakukan pada waktu malam iaitu pada bermula pada pukul 8.00 malam sehingga pagi subuh bergantung dengan cerita yang hendak disampaikan. Pemimpin muzik menora perlu mengadakan persembahan sebelum menora dimainkan. Ketua akan menbacakan mentera dan menyembah mahkota tinggi iaitu cha-da bagi mengelak daripada sebarang ganguan. Setelah selesai, ketua akan membuat persembahan lagu pembukaan.

Geduk

Alat muzik manora terdiri daripada Geduk, sepasang Canang, 1 Pi Nai, 2 Gedombak, 1 Cerek dan 1 Kesi. Geduk merupakan alat membranophones dan gendang yang berbentuk barrel. Dibuat daripada blok kayu keras dan berukuran 12" panjang dan 10 lebar”. Panjang garisan pusat dan lilitnya pada bahagian kulit ialah 31" dan 33" lilitan pada pertengahan badan. Dilitupi dengan kulit kerbau yang direntang dengan cekangnya. Pengetuk kayu digunakan untuk mengetuk geduk.


Gambar 1: Geduk

Canang

Canang merupakan sejenis alat muzik dalam keluarga gong yang berukuran kecil. Berperanan sebagai alat 'penanda masa' (time marker) dalam ensemble paluan tradisional yang terdapat di Kelantan. Dalam konteks persembahan yang berhubung dengan teater tradisional ia disertakan secara berpasangan iaitu Canang 'ibu' dan 'anak'.


Gambar 2: Canang

Gedombak

Gedombak merupakan alat membranophone. lanya sejenis gendang berbentuk labu. Kulit kambing digunakan untuk menutupi gendang ini. Panjang alat ini adalah 13 inci dan lilitan kulitnya ialah 37 inci. Bunyinya dikawal dengan cara menekapkan tapak tangan pada permukaan yang kosong. Gedombak akan diletak melintang semasa memainkannya dan peranan gedombak adalah sebagai alat muzik pembantu.


Gambar 3: Gedombak

Kesi

Kesi merupakan alat idiophones yang memainkan peranan penting di dalam permainan Menora. Alat ini merupakan identiti muzik Thailand. Ianya berbentuk piring yang berbonjol, tebal dan berat. Dimainkan secara pasangan dan bunyinya jelas dan berdering. Kesi diperbuat daripada tembaga dan berfungsi sebagai rentak.


Gambar 4: Cerek

Cerek

Cerek adalahsejenis alat idiophones yang diperbuat dari buluh kering. Panjangnya lebih kurang 14 inci dan 1 ½ inci lebar manakala tebalnya 1 ½ inci. Ia dimainkan secara pasangan dan bentuk bunyinya bergantung pada tebal atau nipisnya cerek itu.


Gambar 5: Cerek

Pi Nai

Pi Nai merupakan alat aerophones yang diperbuat dari kayu yang halus uratnya. Ia berbentuk bulat dan mempunyai kepanjangan 14 inci. Bahagian tengah alat ini agak berbonjol sedikit dan mempunyai 6 lubang. Bahagian atas terdapat lubang reed yang mempunyai tiub keluli berukuran 2 inci dan daun-daun mengkuang yang kering diselitkan ke dalam tiub itu. Bagi memainkan alat ini, pemain haruslah pandai mengawal nafasnya. Peranan Pi Nai di dalam Menora adalah sebagai melodi.



Gambar 6: Pi Nai


video Manora
Teruskan Membaca...

Tuesday, August 31, 2010

MINGGU KE TUJUH : JURNAL REFLEKSI

Salam sejahtera dan salam satu Malaysia..

Pada minggu ke tujuh, jurnal refleksi adalah berdasarkan pembentangan yang dibuat oleh rakan-rakan. Pembentangan pada minggu ini adalah berkenaan Keroncong dan juga Kuda kepang. Pelbagai maklumat telah diperolehi oleh penulis berkenaan dengan tajuk yang dibentangkan. Pembentangan pada minggu ini, merupakan satu pembentangan yang menarik kerana selain daripada membentangkan tajuk, mereka juga sempat untuk membuat demonstrasi berkenaan dengan tajuk mereka.

Keroncong ialah sejenis seni muzik yang berasal dari pengaruh Indonesia. Ia mulai diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 apabila ramai pekerja buruh dari Indonesia terutama dari Pulau Jawa berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Penduduk dari Jawa, tidak ketinggalan juga membawa bersama kesenian mereka termasuk seni muzik gamelan, keroncong, muzik untuk wayang kulit, kuda kepang, barongan, hamdulok, katoperak dan sebagainya.

Kawasan-kawasan yang banyak terdapat kegiatan muzik keroncong adalah di tempat-tempat di mana terdapat ramai orang Jawa dan keturunannya seperti di negeri Johor, di pantai barat negeri Selangor dan Perak. Pada mulanya lagu-lagu keroncong yang dimainkan oleh orang tempatan adalah lagu-lagu yang berasal dari Indonesia. Tetapi lama-kelamaan, selepas Perang Dunia II, ada pencipta lagu tempatan yang mencipta lagu-lagu keroncong bercorak Melayu seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P. Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad, Zainal Ibrahim dan pada akhir-akhir ini Mahzan Manan dan Ariff Ahmad.

Biola atau violin adalah sejenis alat muzik bertali yang dimainkan dengan mengunakan penggesek biola (bow). Biola mempunyai empat tali dan leher yang tidak mempunyai fret. Ia dimainkan dengan cara menggesek tali-tali tersebut dan hujung biola diletakkan di bahu pemain. Terdapat beberapa alat lain dalam keluarga biola, contohnya viola dan selo. Bezanya adalah dari segi saiz (kerana bunyi yang dikeluarkan berbeza), namun cara bermain adalah sama. Biola adalah yang terkecil dan mengeluarkan pic yang paling tinggi. Biola dibuat oleh tukang lut (luthier).

gambar 1: Biola

Gitar adalah sejenis alat muzik bertali yang telah lama digunakan dalam pelbagai jenis gaya muzik, dan juga salah satu alat solo klasik. Ia banyak digunakan sebagai alat utama dalam muzik blues, desa, flamenco, rock dan banyak jenis pop. Gitar biasanya terdiri daripada satu batang leher yang panjang dan terdapat ruas-ruas yang dipanggil "fret". Badannya seakan-akan berbentuk biola. Pada kebiasaannya juga terdapat enam tali yang boleh dimainkan dengan memetik tali tersebut sama ada dengan jari ataupun plektrum (pemetik gitar). Namun terdapat juga gitar dengan empat, tujuh, lapan, sepuluh dan dua belas tali. Gitar dibuat dan dibaiki oleh tukang lut (luthier). Gitar boleh dimainkan secara akustik atau boleh bergantung pada penguat yang selalunya membolehkan manipulasi nada secara elektrik.

Gambar 2: Gitar

Flute digunakan sejak kurun ke12 dan flute berbentuk tegak. Pada Kurun ke 17, flute memegang peranan penting dalam permainan muzik klasik dan gubahan yang memberikan flute peranan sebagai alat solo. Flute telah direka oleh Theobald Beohm (1793-1881), dan direka dalam pelbagai jenis. Flute yang kecil sekali dikenali sebagai “picolo”. Manakala flute berbentuk besar sedikit (saiz standard) dikenali sebagai “alto flute” yang biasanya digunakan dalam beberapa gubahan muzik klasik Barat. Alto flute mengeluarkan bunyi yang lebih rendah. Kompas flute bermula daripada not C yang di bawah sekali kepada not yang tertinggi iaitu not A, lebih sedikit 21/2 oktaf jaraknya.



Gambar 3: Flute

Flute berbeza dengan seruling kerana seruling dibuat dari buluh, manakala flute di perbuat daripada perak. Pada asalnya permainan keroncong menggunakan seruling dan akhirnya ditukar kepada flute. Peranan flute sama seperti biola iaitu memainkan melodi dan juga mengiringi secara ‘counter melodi’ serta memainkan not-not hiasan. Bunyi flute memberi keasyikan kepada peminatnya jika pemain mempunyai banyak pengalaman dan berkebolehan dalam menggunakan aliran not bercorak keroncong. Adakalanya flute dan biola bermain secara duet sama ada secara harmoni atau secara unison.

Cuk merupakan satu alat yang di adaptasi daripada alat ‘ukelele’. Alat ini berperanan sebagai alat pengiring kerana ia cuma digunakan untuk memainkan kod-kod sahaja. Ukelele berasal daripada satu alat yang dikenali dengan nama “charanga” yang dibawa dari Eropah. Cuk dipasang dengan 3 atau 4 tali nylon dan larasnya boleh ditukar ikut nada lagu. Pemain harus mahir untuk menukar laras dengan cepat dan pemain juga perlu tukar posisi jari bagi memainkan kod-kod lagu yang dipersembahkan. Cuk dimainkan untuk mengiringi lagu secar kord, dipetik secara “strumming” .Namun cara tersebut telah berubah kepada memainkan secara petikan dan “arpeggio” dengan berasaskan kord yang sedang dimainkan.

Cak ialah alat pengiring dalam permainan keroncong. Ia bergabung dengan alat cuk dan bertingkah. Cak memainkan kord menggunakan rentak up-beat. Pemuzik Indonesia telah mereka cak baru yang berbentuk seakan-akan cuk tetapi menggunakan tiga tali dawai yang berpasangan seperti mandolin. Rekaan ini tidak menggunakan lubang bulat pada badan alat tetapi digantikan dengan lubang-lubang kecil bagi menghasilkan bunyi yang lebih nyaring dan tinggi.

Celo tergolong dari keluarga biola tetapi dalam keroncong asli ia dipetik (pizzicato), dan mempunyai peranan yang lebih dinamik dan lincah untuk menambahkan ketegasan rentak. Kini celo telah diubah dengan menggunakan tiga tali sahaja. Di Indonesia terdapat perusahaan yang membuat alat celo khas untuk keroncong. Alat celo pertama kali diperkenalkan pada tahun 1572 direka oleh Andrea Amati dari Cremona, Itali. Celo dilaras mengikut pilihan pemain. Celo adalah alat yang mengantikan gendang yang digunakan dalam muzik gamelan.


Gambar 4: Celo

Dabal bes atau double bass, juga dipanggil kontrabes, ialah sejenis alat muzik bertali bebusur besar, dengan ketinggian 2 1/2 kaki. Ia dalam keluarga biola dan merupakan alat biasa dalam orkestra simfoni moden. Double Bass mula terkenal pada awal kurun ke-16. Terdapat pelbagai saiz yang digunakan mengikut kehendak pemain. Talinya diperbuat daripada dawai dan juga nylon. Double bass adalah alat yang paling mudah dimainkan kerana ia menekankan rentak seperti yang dilakukan oleh gong dalam gamelan.



Gambar 5: Double Bass

Alat-alat ini memainkan peranan penting dalam persembahan keroncong. Keindahan muzik keroncong terserlah apabila seseorang menghayati keindahan alunan muzik ini.


Teruskan Membaca...

Monday, August 23, 2010

MINGGU KE ENAM : JURNAL REFLEKSI

Salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Topik pembelajaran pada minggu ke enam adalah berkaitan dengan Makyung dan alat muzik Kompang. Objektif pembelajaran yang ingin dicapai adalah sejarah Makyung, persembahan dan alat muzik. Makyung berasal dari Patani dan tersebar luas ke semenanjung khususnya di Kelantan dan Kedah semasa negeri tersebut di bawah naungan Sultan Mohamad ke IV. Tengku Temenggung Ghaffar yang tinggal di kampung Temenggung, Kota Bahru memainkan peranan penting dalam perkembangan sistem latihan, muzik dan kostum Makyung.

Terdapat dua tujuan Makyung dipersembahkan iaitu tujuan ritual dan persembahan. Bagi tujuan ritual, Makyung dipersembahkan melalui Main Puteri untuk pemyembuhan penyakit. Aras panggung semasa ritual Makyung dijalankan adalah sama dengan aras tanah. Bagi tujuan persembahan, lantai panggung didirikan beberapa kaki dari atas tanah dan ruang berlakon di tengah-tengah panggung. Pemuzik dan pelakon mengambil peranan sebagai korus duduk di tepi lantai.

Terdapat kira-kira 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire. Cerita asal Makyung adalah bertajuk Dewa Muda yakni cerita rakyat. Cerita dikisah melalui dialog ,nyanyian, tarian dan diiringi muzik vokal dan instrumental. Terdapat beberapa buah lagu semasa Makyong dipersembahkan seperti menghadap rebab, kijang mas dan lagu sindung. Selain itu, beberapa alat muzik akan mengiringi lagu yang disampaikan seperti rebab tiga tali, serunai, geduk dan canai.

Kompang berasal dari kebudayaan Arab yang dibawa oleh Pedagang Arab pada kurun ke 13 Masihi. Ia diklasifikasi sebagai Membaranofon dalam kelas dram kecil yang dikenali juga sebagai dufuf, daff, duff, tar atau bendir. Di Indonesia kompang dipanggil terbang atau rebana. Masyarakat Melayu menggunakan kompang untuk meraikan perkahwinan, majlis keraian Islam, Maulidulrasul dan Berkhatan. Manakala masyarakat sosial pada masa kini menggunakan kompang untuk menyambut ketibaan pemimpin dan acara rasmi.

Diakhir kuliah pada minggu ke enam, pelajar-pelajar berpeluang untuk memainkan kompang. Walaupun tidak mempunyai kemahiran dalam memainkan kompang, hasil daripada bimbingan pensyarah dan rakan-rakan, penulis telah Berjaya memainkan sebuah lagu. Pada pandangan penulis kompang merupakan alat muzik yang cukup unik dan memerlukan kemahiran agar bunyi yang terhasil lunak didengar. Diharapkan kuliah pada minggu seterusnya, pelajar akan diberi peluang untuk memainkan setiap alat muzik yang dipelajari agar pelajar dapat menimba ilmu serta pengalaman daripada pembelajaran tersebut.

Gambar 1: Kompang





Video 1: Paluan Kompang dan Farmasi
Teruskan Membaca...

Saturday, August 14, 2010

MINGGU KE LIMA : JURNAL REFLEKSI

Salam sejahtera..

Sekali lagi kita ditemukan dalam ruang jurnal refleksi Muzik Tradisional Malaysia. Pada minggu ini, topik pembelajaran adalah berkenaan dengan Ensembel gamelan dan caklempong. objektif pembelajaran yang ingin dicapai adalah sejarah dan jenis-jenis gamelan, alat muzik gamelan dan sistem tonal, melodi, bentuk serta tekstur.

Gamelan

Gamelan merupakan alat muzik yang berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud ditabuh atau di pukul. Alat muzik gamelan diperbuat daripada perunggu, kayu, buluh dan besi. alat uzik ini mempunyai pelaras yang tetap "fixed tuning". Muzik gamelan dimainkan dengan cara ensembel yakni lengkap sekiranya dimainkan secara berkumpulan. Gamelan telah wujud semenjak T.M 1 dan alat muzik gamelan yang pertama dicipta adalah gong. Pada awal Tamadun Melayu, gong merupakan alat yang penting digunakan sebagai tanda sesuatu upacara bermula atau sesuatu peristiwa berlaku. Gamelan dipercayai berasal daripada indonesia, namun terdapat juga alat yang serupa di negara jiran seperti Filipina, Cambodia, Thailand dan Vietnam.

Gamelan Melayu

Di Malaysia, gamelan Melayu merupakan muzik bentuk tarian utama. Ia juga disebut sebagai gamelan Terengganu dan lebih dikenali sebagai Joget gamelan. Gamelan Melayu telah wujud di Istana Riau Lingga seawal abad ke-18 lagi hasil ikatan perkahwinan keluarga Di Raja Riau dengan Keluarga Bendahara dari negeri Pahang. Disebabkan perkahwinan tersebut maka gamelan, penari dan pemuzik juga telah dibawa.


Rajah 1: Gamelan Melayu


Set alat gamelan Terengganu menggandungi tujuh alat seperti gendang, bonang atau keromong, saron barung, saron penerus atau pekin, gambang, kenong dan gong. Terdapat fungsi tersendiri setiap alat muzik gamelan dalam sesuatu ensembal antaranya adalah;

Fungsi alat muzik;
1. 1 Gong Ageng: Register paling rendah, menentukan pusingan bentuk.
2. 1 Gong Suwuk: Penanda masa register rendah
3. Kenong (Chime): Penanda masa, diapungkan
4. Saron: Melodi pokok: Saron barung dan saron peking. Berbentuk bilahan.
5. Gambang: 3 oktaf lebih
6. 1 Gendang: 2 Muka

Gamelan Jawa


Gamelan Jawa dipercayai berasal dari Pulau Jawa Tengah. Gamelan Jawa digunakan sebagai mengiringi tarian Kifrah, Serimih Lilin, Kupu-kupu dan Cakil. Gamelan ini boleh didapati di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Muzik gamelan Jawa berfungsi dalam kehidupan masyarakat sebagai permainan rakyat dan bukannya terhad untuk persembahan istana sahaja. Set alalt gamelan Johor atau Jawa adalah lebih banyak dan cara bermain adalah kompleks. Peralatan muzik gamelan Jawa adalah seperi berikut:

Alat Muzik Gamelan Jawa atau Johor:
1. Gendang (Ketipung, Jiblon, Bem)
2. Bonangatau Keromong
3. Demung
4. Sarong Barung5. Saron Penerus atau Pekin
6. Gambang
7. Kenong
8. Kempol
9. Gong

Rajah 2: Alat Muzik Gamelan Jawa



Video 1: Ensembel Gamelan Johor

Caklempong


Caklempong dikenali juga sebagai telempong dan tak telempong. Alat muzik ini terdapat di daerah Lenggeng, Kualah Pilah dan Jelebu di Negeri Sembilan. Ia dipercayai berasal dari Minagkabau dan alat muzik ini digunakan untuk mengiringi nyanyian, tarian lilin, pencak silat, majlis perkahwinan dan keramaian. Alat-alat muzik caklempong adalah seperti;
Alat muzik caklempong:
1. Bonang
2. Gereteh
3. Tingkah
4. Sauwa atau Saua5. Gendang Ibu dan Anak
6. Bangsi
7. Serunai


Rajah 3: Alat Muzik Caklempong

Secara keseluruhan pembelajaran pada minggu ini sungguh menarik. Selain pembelajaran dalam kelas mengenai ensembel ini, kami berpeluang untuk memainkan alat muzik gamelan. Penulis telah berpeluang untuk bermain gendang Ibu dan anak sebagai mengiri lagu timang burung. Walaupun tidak mempunyai pengetahuan untuk bermain gendang ini namun dengan bantuan rakan dari fakulti muzik, penulis dapat memainkannya dengan baik.



Teruskan Membaca...

Saturday, August 7, 2010

MINGGU KE EMPAT : JURNAL REFLEKSI

MUZIK WAYANG KULIT

Muzik wayang kulit bukan sesuatu yang asing bagi masyarakat Malaysia. Wayang kulit telah menjadi salah satu daripada budaya yang menjadi identiti kepada masyarakat Melayu. Menurut sejarah wayang kulit merupakan seni tradisional Asia Tenggara yang merangkumi Thailand, Indonesia dan Malaysia. Wayang kulit ini telah berkembang di wilayah seperti Phattalung di Selatan Thailan, Jawa di Indonesia dan sebelah timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan dan Terengganu. Di Malaysia terdapat empat jenis wayang kulit iaitu wayang kulit purwa atau Jawa, wayang kulit Melayu, wayang gedek dan wayang kulit Kelantan.

Wayang kulit Jawa merupakan wayang kulit yang berasal daripada Indonesia. Di Malaysia, wayang kulit jawa atau purwa dipersembahkan oleh orang berketurunan jawa di Johor dan Selangor. persembahan wayang ini masih mengekalkan ciri wayang kulit purwa asli iaitu epik Ramayana dan Mahabrata. wayang ini di mainkan dengan iringan muzik dan juga penyanyi. Salah satu alat muzik yang menggambarkan identiti jawa wayang kulit ini adalah penggunaan alat muzik gamelan Jawa.


Rajah 1: Alat Muzik Gamelan Jawa

Rajah 2: Pemain muzik sedang memainkan Muzik untuk persembahan wayang kulit

Cerita yang disampaikan dalam wayang kulit Jawa ini adalah berdasarkan cerita Pendawa jawa yang mempunyai kaitan dengan cerita epik ramayana daripada India. Bahasa yang digunakan dalam persembahan wayang ini adalah bahasa Jawa dan terdapat juga dialek Melayu diselitkan dalam dialog yang disampaikan.

Patung yang digunakan dalam wayang kulit ini adalah sama seperti patung wayang kulit Kelantan. Namun patung wayang kulit Jawa dan Kelantan dapat dibezakan melalui bentuk mata patung. Jahitan mata patung yang memegang watak pahlawan adalah mata pepelang untuk watak jahat dan mata prebes untuk watak pertapa.

Rajah 3. Patung wayang kulit Jawa




Wayang Kulit Jawa: DEWA RICI

Sebagai kesimpulan, kuliah pada minggu ke empat banyak memberikan pengetahuan baru kepada penulis. Bagi meningkatkan lagi pengetahuan penulis berkaitan dengan muzik wayang kulit, pelatih akan mencari maklumat daripada sumber lain seperti buku, bahan internet dan juga majalah.
Teruskan Membaca...

Sunday, August 1, 2010

MINGGU KE TIGA : JURNAL REFLEKSI

Salam sejahtera dan salam satu Malaysia..

Sekali lagi kita ditemukan dalam lembaran refleksi kuliah yang ke tiga dalam subjek Muzik Tradisional Malaysia. Dalam lembaran refleksi ke tiga ini, penulis akan berkongsi maklumat berkenaan dengan kuliah yang telah disampaikan. Objektif pembelajaran yang telah digariskan dalam kuliah ini adalah mengenalpasti kaedah klasifikasi muzik tradisional Malaysia, mengenalpasti katogori muzik tradisional Malaysia dan mengenalpasti ciri-ciri muzik tradisional Malaysia. Muzik tradisional malaysia telah mengalami penyesuaian daripada budaya setempat yang telah menjadi sebati dengan kehidupan masyarakat Maalaysia. Muzik tradisional malaysia dapat diklasifikasikan mengikut beberapa budaya luar seperti budaya muzik Cina, India dan Barat. Disamping itu, muzik tradisional Malaysia dapat dibahagiakn kepada lima katogori utama iaitu muzik rakyat, muzik klasik, muzik sinkretik dan muzik kontemporari.

Pertembungan antara muzik rakyat dan muzik istana dengan unsur lain dapat melahirkan sebuah muzik yang dikenali sebagai muzik sinkretik atau accultured. muzik sinkretik kerap kali terdapat dalam budaya bandaran. muzik ini diterima sebagai muzik tradisional Melayu yang melibatkan berbagai-bagai jenis vokal, tarian dan teater. dalam muzik sinkretik, unsur-unsur asli dalam muzik tradisi dicampurkan dengan unsur luar seperti sumber muzik dan teater dari Arab, Parsi, India dan Barat.

Sebagai contoh, alat muzik Cak lempong merupakan salah satu alat muzik tradisional Malaysia yang tergolong dalam alat muzik sinkretik. Cak lepong juga tergolong dalam keluarga gong yang berukuran kecil. Cak lempong mula berkembang di kalangangan masyarakat Melayu berketurunan minangkabau di Negeri Sembilan. Cak lempong dimainkan bersama iringan alat-alat muzik lain seperti seruling buluh, salung, rebana dan gong untuk mengiringi pencak silat, tarian lilin, randai dan tarian serta nyanyian. Dalam situasi tertentu alat muzik cak lempong boleh dijadikan sebagai alat pengganti bagi canang seperti dalam dikir barat dan wayang kulit kelantan. Namun dalam keadaan sedemikian nama sifatnya dijelaskan sebagai alat canang. Hal ini berdasarkan kepada kontekstual persembahannya yang amat berkait dengan tuntutan disiplin berkenaan. Dalam amalan persembahan masa kini, kumpulan cak lempong dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut fungsinya iaitu bahagian "gereh" yang memainkan melodi, manakala "tingkah" dan suasa akan memainkan ritheme secara berhomofoni sebagai unsur pelengkap kepada irama kepada sebuah lagu tersebut.

Alat muzik Cak Lempong




Randai merupakan persembahan teater etnik minangkabau yang menggabungkan seni muzik, tarian, drama, nyanyian dan pencak silat. Randai biasanya dipersembahkan bagi upacara tradisi dan perayaan, dan kisah panjang memakan masa beberapa malam. Randai dipersembahkan sebagai teater dalam bulatan bagi mencapai persamaan dan penyatuan antara penonton dan peserta. Kisah disampaikan melalui lakonan serta nyanyian dan kebanyakan berdasarkan kepada lagenda Minangkabau dan cerita rakyat. Randai lahir pada awal abad ke-20 hasil gabungan seni bela diri tempatan, penceritaan dan tradisi persembahan lain. lelaki biasanya memaikan kedua-dua watak lelaki dan perempuan dalam cerita, tetapi sejak 1960-an wanita juga turut serta dalam persembahan ini.

Sebagai kesimpulan, kuliah pada minggu ini memberikan banyak maklumat berkenaan dengan ciri-ciri muzik tradisional kepada penulis. Maklumat ini berfaedah kepada penulis bagi mengetahui klasifikasi dan ciri-ciri muzik yang terdapat di Malaysia. Bagi meningkatkan lagi pengetahuan penulis berkenaan dengan kandungan kuliah ini, penulis akan membuat rujukan melalui pembacaan buku, kertas kerja, majalah dan internet. Pembelajaran dalam kelas dan rujukan luar akan memperkasakan lagi ilmu pengetahuan penlis dalam bidang ini.


Teruskan Membaca...

Monday, July 26, 2010

MINGGU 2 : JURNAL REFLEKSI

MUZIK TRADISIONAL MALAYSIA

Muzik Tradisional Merupakan salah satu subjek yang memberikan pendedahan kepada para pelajar berkenaan dengan isu muzik tradisional di alam Melayu serta telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita. Pembelajaran subjek Muzik Tradisional telah mempelbagaikan lagi ilmu pengetahuan penulis berkenaan dengan sejarah muzik tradisional serta aspek-aspek yang berkaitan dengan peralatan muzik. Sekiranya kita memperkatakan tentang muzik, maka timbullah idea atau pengetahuan kita berkenaan dengan lagu-lagu, peralatan muzik dan juga tari-tarian yang diiringi muzik. Begitulah tanggapan seseorang termasuk penulis sendiri yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap muzik. Namun bagi seseorang yang berpengetahun luas dalam bidang muzik maka muzik mempunyai elemen yang luas dan mempunyai peranan kepada pengamal muzik tersebut.

Selaras dengan komitmen penulis dalam mengikuti kursus ini, penulis ingin mendalami lagi bidang muzik agar penulis akan lebih berpengetahuan dalam bidang ini. Oleh itu, objektif yang ingin dicapai oleh penulis dalam mengikuti kuliah pada minggu kedua adalah mengetahui secara teori berkenaan dengan konsep-konsep asas muzik, mengenali alat-alat muzik tradisional, sejarah perkembangan muzik di negara ini dan perkembangan muzik tradisional sehingga pada hari ini. Objektif ini adalah penting bagi penulis mengetahui asas-asas muzik tradisional sebelum mendalami lagi pengetahuan muzik tradisional yang akan dipelajari sepanjang semester ini.

Bertepatan dengan rangka rancangan kursus yang telah dirancang oleh pihak Fakulti Muzik, beberapa tajuk asas telah dipelajari oleh penulis dalam kuliah pada minggu ke dua ini. Antara perkara yang telah dipelajari adalah soundscape, budaya muzik, sejarah, katogori alat muzik dan konsep atau struktur muzik. Soundscape merupakan pemandangan bunyi yang mempunyai peranan dalam konteks lingkungan suara. Bunyi memainkan peranan penting dalam membentuk muzik kerana gabungan bunyi yang dicipta mengikut domain budaya, persembahan dan aktiviti menghasilkan muzik. Apabila muzik yang dicipta oleh sesebuah masyarakat dan menjadi identiti kepada masyarakat tersebut makan muzik tersebut akan menjadi salah satu budaya masyarakat tersebut.

Setiap muzik yang menjadi identiti masyarakat akan mempunyai peranan dan gaya persembahan tersendiri dalam kehidupan masyarakat tersebut. Dalam konteks sejarah muzik tradisional telah mengalami integrasi yang menjangkau kawasan-kawasan disekitar alam Melayu dan telah lama bertapak di rantau ini sehinggakan muzik tradisional dikongsi bersama namun mengikut acuan kebudayaan masyarakat setempat. Oleh itu, kita dapat melihat kepelbagaian dalam sasuatu jenis muzik tradisional yang mempunyai keindahan mengikut masyarakat yang mendokongnya. Sejarah pergerakan manusia merupakan titik permulaan kepada tersebarnya perbagai pengaruh dalam sesuatu muzik tradisional tersebut. Sebagai impak kepada interaksi dan pergerakan manusia maka wujudlah muzik yang berunsurkan budaya asing seperti pengaruh Arab, Hindu, Indonesia, Thailand dan negara Barat dalam muzik tradisional di Malaysia.



Keroncong merupakan ensembel string atau muzik sinkretik yang mendapat pengaruh Barat khususnya Portugis.


Alat-alat muzik keroncong
1. Violin














2. Cello


















3. Double-Bass



















Selain itu, pengenalan berkenaan dengan alat muzik tradisional memberikan pengetahuan kepada penulis dalam muzik tradisional ini. Alat-alat muzik tradisional dapat dibahagikan kepada mengikut empat katogori iaitu kordofon, membranofon, aerofon dan ideofon. Disamping itu, struktur dan konsep muzik merupakan perkara yang amat penting bagi memberikan pengatahuan dalam bidang muzik. Antara struktur dan konsep muzik yang telah dipelajari oleh penulis adalah melodi, ritma atau meter, harmoni, bentuk, notasi dan ekspresi. Penguasan dalam konsep muzik yang telah diketengahkan akan memberikan pengetahuan kepada penulis untuk menilai keindahan semua jenis muzik.

Bagi meningkatkan lagi pengetahuan berkenaan dengan muzik tradisional Malaysia, pelbagai cara atau pendekatan yang boleh diambil oleh penulis seperti merujuk daripada buku, artikel dan melalui pembacaan di internet. Dengan mengamalkan cara tersebut maka pelatih akan dapat meningkatkan pengetahuan dan sekaligus menguasai teori beserta aplikasi muzik tradisional Malaysia.

Teruskan Membaca...
 

SMP2252 EDDIE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template